Fadilat Membaca Kalimah "Hauqalah"
Fadilat Membaca
Kalimah "Hauqalah"
(La Hawla Wala Quwwata IIIa Billah)
أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Berdoa adalah senjata orang mukmin. Orang mukmin akan banyak berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT samaada dalam keadaan tenang atau dalam keadaan gelisah .Samaada ketika gembira atau berduka, kerana hati mukmin sentiasa bergantung dengan kekuasaan Allah SWT. Tidak ada sesuatu pun yang berlaku dilangit atau di muka bumi semuanya pasti di dalam pengawasan dan kekuasaan Allah SWT. Tidaklah menjadi suatu kerugiaan jika kita sentiasa berharap dan berserah diri kepada Tuhan yang Maha Berkuasa.
Rasulullah SAW bersabda :“Man Qala La Haula wala Quwwata Illa Billahi Kana dawa’an min tis’atin wa tis’iina da’in, aisaruha al-Hammu”
(yang bermaksud:“Siapa yang mengucapkan 'La Haula Wala Quwwata illa billahi,' maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan”). (Hadis Riwayat Tabrani)
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa orang mukmin digalakkan untuk tabah dan berusaha merawat penyakit asalkan mengikut peraturan agama. Penyakit yang dimaksudkan itu ada terkandung dalam beberapa ayat al-Quran dan hadis dari Nabi SAW.
Daripada Anas, bahawa Rasulullah SAW berdoa dengan doa: “Allahumma innii ‘auuzhu bika minal barashi wal junuuni wal-juzaami wa sayyi’il asqaam (yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari penyakit sopak, gila, penyakit kusta dan penyakit-penyakit yang berat).” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Begitu juga hadis riwayat Abu Daud menyebut bahawa Rasulullah SAW berdoa: “Allahuamma Inni a’uuzu bika minal hammi wal hazan, wa ‘auuzhubika minal ‘ajzhi wal kasal, wa’auuzhu bika minal Jubni wal-Bukhl, wa’uuzhubika min ghalabatid daini wa qahrir rijaal "
(yang bermaksud : "Ya Allah! Aku berlindung dengan nama-Mu dari rasa sedih dan duka.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari rasa lemah dan malas. Aku berlindung dengan nama-Mu dari sifat bacul dan bakhil. Aku berlindung dengan nama-Mu dari beban hutang dan penindasan orang."
Apa yang penting pada hadis berkenaan ialah untuk menyatakan kelebihan dan manfaat besar kepada orang yang banyak menyebut "La Haula Wala Quwwata Illa Billah’" (yang bermaksud : Tiada daya dan kekuatan (untuk menolak sesuatu kemudaratan dan mendatangkan suatu yang manfaat) selain Allah SWT).
Ucapan itu dinamakan "Hauqalah". Apabila kita ditimpa sesuatu yang kita tidak sukai, banyakkan menyebut "hauqalah".
Imam a-Nawawi berkata: “La haula wa la quwwata illa billah”, itulah kalimah yang digunakan untuk menyerah diri dan menyatakan bahawa kita tidak mempunyai hak untuk memiliki sesuatu urusan. Ia kalimah yang menyatakan bahawa seseorang hamba tiada mempunyai daya upaya untuk menolak sesuatu kejahatan (kemudaratan) dan tiada mempunyai daya kekuatan untuk mendatangkan kebaikan kepada dirinya melainkan dengan kudrat iradat Allah SWT juga."
Dalam sebuah hadis menyebut daripada Abu Zar, beliau berkata: “Aku berjalan di belakang Rasulullah SAW, lalu baginda berkata kepadaku: “Wahai Abu Zar, mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu perbendaharaan daripada beberapa perbendaharaan syurga? Aku berkata: "Mahu ya Rasulullah". Baginda bersabda: “La Haula wala Quwwata illa billah.”
Begitu juga hadis daripada Abu Musa, beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda kepadaku: “Mahukah aku tunjukkan salah satu perbendaharaan dari perbendaharaan syurga? Saya menjawab: “Mahu ya Rasulullah". Kemudian Baginda bersabda: "La haula wala quwwata illa billah.”
Daripada Ibnu Mas’ud beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda: 'Wahai Muaz, adakah kamu tahu tafsir (maksud) La haula wala quwwata illa billah? 'Muaz menjawab: 'Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui'. Rasulullah SAW bersabda : 'La haula (tiada daya) dari menghindari maksiat kepada Allah melainkan dengan kekuatan Allah, wala quwwata (tiada kekuatan) atas mentaati Allah melainkan dengan pertolongan Allah SWT. Kemudian Rasulullah SAW menepuk bahu Muaz dan baginda bersabda: “Demikianlah yang diberitahu oleh kekasihku Jibril daripada Tuhan.”
Sebenarnya apabila kita banyak menyebut Allah SWT atau berzikir mengingati-Nya sebanyak-banyaknya, ia mampu menjadi penyembuh, tetapi sekiranya kita banyak ingat kepada manusia ia boleh menjadi penyakit.
Sepanjang kita hidup di dunia ini adakah kita pernah bertemu dengan perasaan gelisah, dukacita, kecewa, putus asa, forbia, bimbang, risau, takut dan panas baran? Sebagai manusia biasa pasti perasaan-perasaan tersebut pernah kita lalui. Sebenarnya sejauhmana kita mampu mengawal perasaan dan emosi kita adalah bergantung tahap keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Orang mukmin tidak akan putus asa daripada rahmat Allah SWT.
Jika kuat iman kita dan keyakinan kita kepada janji-janji Allah SWT maka semua masaalah akan dihadapi dengan tenang dan sabar dan sentiasa ingat kepada Allah SWT. Orang mukmin akan mengucapkan kalimah “La Haula wala Quwwata illa billah.” berulang-ulang kali insya Allah semua masaalah yang dihadapinya akan menjadi mudah dan dapat diatasi dengan tenang. Allah SWT akan memberikan jalan penyelesaian dengan cara yang tidak di duga dan ini adalah rahmat Allah SWT dan berkat atau kelebihan kalimah "hauqalah"