Sunday, June 24, 2012

KISAH WANITA BERWAJAH HODOH ...........




Seorang gabenor pada zaman Khalifah Al-Mahdi, pada suatu hari mengumpulkan sejumlah rakyatnya dan menaburkan wang dinar dihadapan mereka. Semuanya saling berebut untuk memungut wang itu dengan riang gembira. Kecuali seorang wanita berkulit hitam dan berwajah buruk.

Dia hanya diam sahaja tidak bergerak, sambil memandang jiran – jirannya yang sebenarnya lebih kaya dari dirinya, tetapi seolah-olah mereka kekurangan harta.

Dengan kehairanan Gabenor bertanya, “Mengapa engkau tidak memungut wang dinar itu seperti jiran engkau yang lain?”

Wanita berwajah buruk itu menjawab, “Mereka cari wang dinar sebagai bekal dunia. Sedangkan yang saya memerlukan bukan dinar melainkan bekal akhirat.”

“Maksud kamu?” tanya Gabenor yang mulai tertarik akan keperibadian perempuan itu.

Maksud saya, wang dunia sudah cukup. Yang masih saya perlukan adalah bekal akhirat, iaitu solat, puasa dan zikir. Kerana perjalanan di dunia amat pendek jika dibandingkan dengan pengembaraan di akhirat yang panjang dan kekal.”

Dengan jawapan seperti itu, Si Gabenor merasa telah disindir tajam. Dia insaf, dirinya selama ini hanya sibuk mengumpulkan harta benda dan melalaikan kewajipan agamanya. Padahal kekayaannya melimpah ruah, tidak akan habis dimakan keluarganya sampai tujuh keturunan. Sedangkan umurnya sudah di atas setengah abad, dan Malaikat Izrail sudah mengintainya.


 Akhirnya Gabenor jatuh cinta kepada perempuan buruk itu. Khabar itu tersebar ke segenap pelusuk negeri. Menteri dan orang besar negara sangat hairan, bagaimana seorang Gabenor boleh menaruh hati kepada perempuan hodoh itu.

Maka pada suatu kesempatan, mereka diundang oleh Gabernor dalam sebuah pesta mewah. Semua rakyat, termasuk wanita yang hodoh tadi. Mereka diberikan gelas cristal yang bertahtakan permata, berisi minuman anggur segar. Gabenor memerintah agar mereka membaling gelas masing-masing.

Semuanya kebingungan dan tidak mahu menuruti perintah itu.

Namun, tiba-tiba terdengar bunyi berderai, tanda ada orang gila yang melaksanakan perintah itu. Itulah si perempuan berwajah buruk tersebut. Di kakinya terdapat pecahan gelas berhamburan. Semua orang nampak terkejut dan kehairanan. Gabenor itu bertanya,“Mengapa kamu membaling gelas itu?“

Tanpa takut wanita itu menjawab :

Pertama, dengan memecahkan gelas ini bererti berkurangnya kekayaan Tuan. Tetapi, pada saya perkara itu lebih baik, kerana kewibawaan Tuan terjaga lantaran perintah Tuan tidak dipatuhi.”

Gabenor terkesima. Para tetamunya juga kagum akan jawapan yang masuk akal itu.

Sebab lain?” tanya Gabenor itu lagi. Wanita itu menjawab.


 “Kedua, saya hanya mentaati perintah Allah. Sebab di dalam Alquran, Allah memerintahkan agar kita mematuhi Allah, Utusan-Nya, dan para penguasa. Sedangkan Tuan adalah penguasa, atau ulil amri, maka saya laksanakan perintah Tuan.”

Gabenor semakin takjub. Demikian pula para tetamunya.

“Masih ada sebab lain?”

Perempuan itu mengangguk dan berkata.

“Ketiga, dengan saya memecahkan gelas itu, orang-orang akan menganggap saya gila. Namun, perkara ini baik buat saya. Biarlah saya di cap gila daripada tidak melakukan perintah Gabenornya, yang bererti saya sudah berbuat derhaka. Tuduhan saya gila, akan saya terima dengan lapang dada daripada saya dituduh derhaka kepada penguasa saya. Itu lebih berat buat saya.

Maka Gabenor yang sedang menduda itu melamar lalu menikahi perempuan hodoh dan hitam legam itu. Semua yang mendengar sangat gembira kerana Gabenor memperolehi jodoh yang bukan sahaja taat kepada suami, tetapi juga taat kepada gabenorrnya, kepada Nabinya, dan kepada Tuhannya.

Tuesday, June 19, 2012

3 SIKAP YANG MEMBUATKAN WANITA NAMPAK HODOH ,,,,,,,,,,,,

 




3 sikap yang membuatkan wanita nampak hodoh ;
-  jahil
-  buta hati
-  kasar lidah (kata-kata kasar dan menyakiti org)


Pernahkah  melihat wanita yang terlalu cantik, sempurna segala zahirnya, anggun bergaya dengan kosmetik dan perhiasannya bak supermodel? Bukan hanya lelaki yang suka memandang, bahkan sesama perempuan juga tertarik melihat penampilan yang sedap dipandang. Tetapi sayangnya, setelah mengenali hati budinya, dia sungguh berbeza luaran dan dalaman. Luaran amat memukau, manakala dalaman pula sungguh memeranjatkan!


Lelaki yang hidung belang memang tidak ambil kisah tentang keperibadian seorang wanita. Apa yang penting buat mereka adalah seksi dan boleh memuaskan nafsu keji mereka. Tetapi, lelaki sejati yang beriman tidak akan sanggup mengambil isteri seorang wanita yang jahil, busuk hati dan kesat lidah sebagai pendamping hidup.



Ada pula yang mengambil risiko cuba-cuba untuk nasib, manalah tahu si jelita ini boleh berubah perangainya suatu hari nanti, tapi nahas pula yang diperolehi, habis beribu ringgit melabur supaya isteri berubah, tetapi tidak juga berhasil usaha untuk ‘turn over’ hati dan sikapnya.


Setiap wanita yang dilahirkan dalam keadaan sempurna jasmaninya, jangan berpuas hati dahulu sebelum menilai kelemahan yang tersembunyi dari pandangan orang lain. Jika wanita memiliki tiga sifat berikut ini, baik berhati-hati kerana setiap lelaki yang mengenali mungkin akan lari meninggalkannya.


 1) Jahil

Dunia semakin maju, teknologi dan informasi terkini telah pun tersebar dengan pesat dan cepat. Wanita dulu dan sekarang jauh berbeza, tetapi yang tidak pernah berubah adalah kefahaman agama yang mesti dipegang dengan kuat, seiring beredarnya masa menuju akhir zaman yang semakin mencabar.

Jahil tentang ilmu dunia dan akhirat adalah kelemahan yang membuatkan  nampak hodoh. Hanya ilmu yang boleh mengangkat status seseorang dan merubah sejarah hidup manusia. Ilmu dunia jika tidak diiringi dengan ilmu akhirat (agama) akan pincang.

 Wanita yang mempunyai kelulusan dalam bidang perubatan, ekonomi, sosiologi, antropologi, politik, sains dan lain-lain akan tersesat tanpa bimbingan ilmu agama yang sahih. Inikan pula wanita yang tidak tahu apa-apa selain kosmetik dan butik, jadi hendak ke mana dibawa anak-anak yang lahir dari rahim mereka ini?



2) Buta hati

Cantik paras rupa tetapi buta hati. Tidak akan selamat sesiapa pun yang mendampingi wanita sebegini. Hati merupakan pusat tenaga pada diri manusia. Jika baik hatinya maka baiklah amalannya dan begitulah sebaliknya. Mengapa sibuk mandi aura bunga-bungaan sebagai pembangkit tenaga dalaman tetapi hati pula dibiarkan busuk dan bernanah.

Apakah yang menyebabkan hati sakit?

i) Tidak mengenal Allah dan Rasul dengan sebenarnya

Jalan mengenal Allah dan Rasul adalah dengan mempelajari al-Quran dan hadis. Bukan setakat dibaca tapi dikaji, difahami, diamalkan dn diperjuangkan. Kalau pergi ke pusat rawatan kecantikan atau salun pasti waktu habis dua tiga jam untuk satu sesi, mengapa pula jika belajar agama tiada masa dan asyik memberi alasan ‘sibuk’?


 Hati yang tidak disentuh ayat-ayat Allah dan ilmu-Nya, semakin lama akan menjadi semakin kotor, sakit dan tenat kerana tabiat hati diciptakan Allah SWT memerlukan makanan. Makanan hati adalah al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

ii) Terlalu berlebihan dalam perkara mubah

Banyak makan, tidur, sibuk dengan hiburan, permainan, shopping, menghias rumah berlebih-lebihan, sibuk bersenam dan berubat mengalahkan kewajipan sembahyang. Tidak tahu mana prioriti dalam kehidupan. Hal ini boleh merosakkan hati.

Agama tidak melarang manusia bersenang-senang, tetapi hidup ini mesti seimbang antara dunia dan akhirat. Jika setiap hari keletihan akibat mengikut segala kemahuan hawa nafsu sehingga tidak larat untuk beribadah, tentu keadaan sebegini akan menyebabkan seseorang menjadi lalai. Jika sudah lalai, hati menjadi keras dan kotor, tidak mampu membezakan yang baik dan buruk dalam perbuatannya.

iii) Menjadikan syaitan sebagai teman akrab

Amat berbahaya jika syaitan duduk dalam hati manusia. Meniupkan angin dengki, prasangka buruk, dendam amarah, riak dan sombong. Jangan biarkan syaitan masuk ke pintu hati kita dan menebarkan racun-racunnya. Berlindunglah kepada Allah SWT daripada gangguannya. Hati yang sakit melahirkan perangai-perangai yang gila, menyusahkan diri dan orang lain. Tidak ada wanita yang lebih hodoh dari si pendengki, pencemburu buta dan pendendam. Maka waspadalah!



 3) Kasar lidah

Kehodohan yang paling ketara adalah ketika seorang wanita melepaskan panahan lidahnya. Tajam menusuk hati orang yang mendengar, menyebabkan siapapun enggan bersahabat dengannya. Suami menghindari, anak-anak lari, jiran dan handai taulan menutup diri tidak mahu berhubungan dengan wanita yang tidak pandai menjaga lidahnya.

Mengumpat, memfitnah dan mencaci telah sebati dalam dirinya. Al-Quran telah memberi amaran seksa bagi orang yang mengumpat saudaranya yang bermaksud:




“ Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. ”


- (Surah al-Hujurat ayat 12)

Sesungguhnya jahil, buta hati dan kasar lidah adalah sehina-hina perangai yang dibenci makhluk apatah lagi Allah Taala yang Maha Suci. Kecantikan perlu diusahakan dan dicari, maka berhiaslah dan berubatlah untuk kecantikan zahir dan batin.