Friday, October 5, 2012

Mengertikah Manusia? .........

 







Bismillahirrahmanirrahim......


Manusia itu tamak.
Tamak kerana mahu doa sentiasa dimakbul Tuhan.
Tamak kerana mahu segala nikmat terbaik. Mahu cinta terindah, pangkat tertinggi, gaji terbanyak, ilmu terbaik, harta melimpah ruah. Mahu jadi kuat, bijak dan hebat.
Mengertikah erti doa itu apa?
 
 
Manusia itu juga kedekut.
Kedekut kerana sangat-sangat berkira apabila mahu berkorban demi Tuhan.
Walaupun berkorban demi Tuhan itu maksudnya bertempur dengan nafsu sendiri, dalam kebanyakan masa hidup manusia itu sendiri.
Mengertikah erti korban itu apa?
Manusia itu pentingkan diri.
Hanya mahu memikirkan diri sendiri, perasaan dan emosi sendiri, cinta sendiri, ego sendiri, perut sendiri, hak sendiri, nasib sendiri serta kubur sendiri-sendiri sahaja.
Kerana mahu segala kebaikan dan kenikmatan untuk diri sendiri dan orang-orang terdekat sahaja. Tak terfikir pun mahu menghulur. Apatah lagi untuk yang tidak kita kenali walau sama-sama satu agama.
Jika kesusahan itu datang, mahu seluruh pelusuk manusia menghulur bantuan. Tidak lupa meminta kepada Tuhan.
Mengertikah erti memberi itu apa?
 
 
Manusia itu pelupa.
Kerana hadiah teratas pemberian Tuhan untuk bukan calang-calang orang, diletak tepi, dibiar berdebu. Hadiah teratas yang kita sering tidak peduli itu adalah Iman, Islam, nafas dan masa.
Hadiah-hadiah kecil cinta dunia pemberian manusia diagung-agungkan. Disemat kukuh dalam jiwa. Pantang diusik, kita mudah marah dan melenting.
Mengertikah erti nikmat itu apa?
 
 
Manusia itu bongkak lagaknya.
Makan rezeki Tuhan, namun berdolak dalih denganNya.
Yang haram dibiasakan menjadi ‘halal’ pula. Suka hati merombak hukum.
Bangga pula menunjuk seluruh dunia, cinta ini aku yang punya bukan kamu kamu.
Dosa ini aku yang bawa, bukan kamu kamu.
Mengertikah erti dosa itu apa?
 
 
Manusia itu berani bermain-main.
Jangan dicabar, akan ku buat. Cabar yang buruk terus dibuat. Cabar yang baik dikata bukan cabaran. Namun bila ujian betul-betul menghempap, tak terdaya pula berhadapan dengan realiti. Tak sanggup bermain-main lagi.
Mengertikah erti berani itu apa?
 
 
Manusia itu sangat kalut.
Kalut jika apa yang dimimpi, dirancang hari-hari, diingat dalam jiwa hilang sedetik masa.
Apakah Tuhan membenci aku? Apakah Tuhan lupakan aku?
Mengapakah Tuhan menguji aku? Teramat kalut dan takut.
Mengertikah erti takdir itu apa?
 
 
Manusia itu buta.
Dunia dilihat kekal. Tak terlihat akhirat. Tak dapat beza yang kaca dan delima.
Mungkin tak terasa mahu membayangkan seinci pun kedahsyatan akhirat itu bagaimana. Tak terjangkau fikiran tentang bagaimana siksanya neraka.
Yang dinampak hanya dunia, dunia, dan dunia sahaja. Dan wanita-wanita cantik dunia, dan duit berkepuk-kepuk di dalam poket. Dan hanya nampak sanjungan manusia. Tidak nampak apa-apa selepas dunia.
Yang dinampak hanya yang sementara yang dirasa seperti selamanya. Yang dilupa adalah yang kekal yang dirasa seperti tidak wujud.
Mengertikah erti kekal itu apa?
 
 
Manusia itu lalai.
Melalui jalan-jalan dunia yang bersimpang siur ini, banyak yang terlupa di mana diri berada dan bila masa akan sampai ke penghujung jalan hidup.
Banyak juga yang tersesat, tak tersampai ke jalan lurus terus. Terlalu asyik dengan jalan-jalan lain yang nampak penuh nikmat tak tercapai akal jika tak merasa sendiri dahulu.
Kerana ramai yang terleka dengan jalan-jalan yang bermacam nikmat ini, tak teringat untuk apa Tuhan hantar kita berjalan di dunia ini.
Untuk berjalan-jalan dan bermain-main barangkali. Bermain-main sambil menikmati nikmat-nikmat itu, bukankah?
Mengertikah erti mati itu apa?
 
 
Manusia itu lemah.
Kebanyakannya tahu apa itu benar, apa itu batil. Tetapi kecut bila bicara tentang berubah.
Sukar. Masih jahil. Enggan. Berat hati. Sayang. Perit. Nanti dulu. Bertangguh lagi.
Mengertikah erti hidayah itu apa?
 
 
Ironinya,
Manusia yang lengkap akal itu banyak yang dungu.
Dungu kerana mudah percaya Iblis dari kata-kata Tuhan.
Apakah dungu kerana benar-benar tidak tahu atau kerana benar-benar tidak mahu berusaha untuk menjadi tahu selepas tahu diri ini tidak tahu?
Mengertikah erti bijak itu apa?
Mengertilah,
Manusia itu adalah saya dan kamu kamu sekalian.
 
 
Ya Allah, kuatkan aku dan hati aku dan kaki aku dan tangan aku dan akal aku untuk berjihad demiMu, untuk berhijrah demiMu dan untuk menjadi manusia yang lebih mengerti dan berfikir untuk mencuba mengerti walaupun sedikit, tentang setitis rahsia ilmu-ilmuMu, Tuhan.

0 comments: