Terdapat 10 persediaan yang perlu kita laksanakan supaya dapat membantu kita semasa kita berada di alam barzakh :
Pertama : Sentiasa utamakan amalan fardu ain (jangan ditinggalkan)
terutama solat , puasa dan zakat dan fardu kifayah dan fardu-fardu
lainnya yang ditetapkan dalam sunnah-auliah dan sunah Rasulullah SAW.
Daripada Abu Hurairah, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda
bermaksud: "Sesungguhnya amalan yang mula-mula sekali dihisabkan
seseorang pada hari kiamat mengenainya ialah solatnya, jika solatnya
diterima, maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia. Jika solatnya
tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripadanya
solat fardu sesuatu. Allah berfirman: 'Periksalah, adakah hambaku itu
mempunyai solat-solat sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang
terkurang daripada solat fardu. Demikianlah keadaan amalan lain."
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Kedua : Sentiasa menjauhkan diri daripada berbuat yang merosakkan
amal ibadah fardu tersebut , seperti melakukan perbuatan yang
mengundang dosa.
Imam Abu Laits berkata; “Jauhilah diri daripada arak kerana ia
mengandungi banyak keburukan iaitu orang yang minum arak akan menjadi
seperti gila. Allah SWT akan menutup pintu langit kepada orang yang
meminum arak dan amalannya serta doanya tidak akan diterima selama 40
hari. Orang yang minum arak akan dijauhi daripada rahmat Allah SWT dan
dibenci oleh para malaikat.”
Jika seseorang jumpa bomoh solatnya tidak diterima selama 40 hari.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barang siapa yang mendatangi tukang
tilik (bomoh) dan ditanya mengenai sesuatu maka tidak diterima solatnya
selama 40 hari (Hadis Riwayat Muslim)
Ketiga : Sentiasa bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat
menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan
diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :“Barangsiapa bertaubat kepada
Allah sebelum matahari terbit dari barat, nescaya Allah akan menerima
taubat orang tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim)
Keempat : Bersegera memohon kemaafan daripada orang yang telah kita lakukan kesalahan.
Dalam hadis yang lain dari Abu Sa'id Al-Khudri r.a., bahawa Nabi SAW
bersabda: "Tidak ada seseorang yang melakukan sesuatu perbuatan aniaya
terhadap orang lain di dunia dengan tidak menyerah dirinya kepada orang
itu untuk membalasnya, nescaya Tuhan akan menyerahkannya kepada orang
itu supaya membalasnya pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Baihaqi)
Kelima : Mewasiatkan kepada ahli keluarga tentang iman dan Islam, halal dan haram dan berpegang teguh dengannya.
Jangan jemu setiap hari memberi nasihat dan tarbiah kepada isteri
dan anak-anak dan didik mereka dengan didikan Islam dan ajarkan fardu
ain mengenai hukum hakam supaya mereka tahu halal dan haram dan ajarkan
mereka akhlak yang mulia di ajarkan oleh Rasulullah SAW.
Allah SWT berfirman yang bermaksud,"Wahai orang-orang yang beriman.
Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka, di mana
bahan-bahan bakarannya itu ialah manusia dan batu (berhala)" (Surah
At-Tahrim ayat 6)
Keenam : Memperbanyakkan amal jariah, bersedekah, amalan-amalan
sunat dan banyakkan berniat untuk melakukan kebaikan walaupun belum
mampu melaksanakannya.
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : “Sungguh sedekah itu akan
memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk
(Su’ul Khatimah).” (Hadis Riwayat al-Turmuzi)
Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah
ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta,
nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan
(golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut,
maka pahala kedua-dua hamba ini sama." (Hadis Riwayat Tirmizi).
Nabi SAW bersabda: ” Seorang hamba dihadapkan pada hari kiamat
membawa hasanah sebesar bukit, lalu ada seruan;' Siapa yang pernah di
aniaya oleh fulan boleh datang untuk dibayar'. Maka datanglah beberapa
orang lalu mengambil bahagiannya sehingga tiada tinggal satu pun dari
hasanah yang banyak itu, sehingga hamba itu menjadi bingung, lalu Tuhan
berkata kepadanya: 'Untuk mu ada simpanan pada Ku yang tidak Aku
perlihatkan kepada malaikat atau seorang pun dari makhluk Ku,' lalu ia
bertanya:' Apakah itu'. Jawab Tuhan: Ia itu niatmu, yang kau selalu
niat akan berbuat kebaikan, Aku tulis untuk mu berlipat ganda, tujuh
puluh lipat ganda.' "
Daripada Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar
Rasulullah SAW .bersabda maksudnya : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan
itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang
apa yang dia niatkan.."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ketujuh : Mengajarkan atau menyebarkan ilmu yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud, " Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat".(Hadis Riwayat Bukhari)
Setiap kalimah, pengajaran, ilmu, risalah, nasihat yang kita ambil
daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW adalah merupakan
ilmu-ilmu yang bermanfaat yang akan dapat menambahkan pahala dan amal
soleh ketika kita hidup di dunia ini. Penulisan di facebook dan blog
dan 'share' bahan-bahan tazkirah yang baik juga di kira sebagai ilmu
yang bermanfaat.
Kelapan : Mendidik anak-anak agar menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
Untuk mendidik anak-anak yang soleh dan solehah adalah dengan
banyak melakukan amalan yang terpuji, berusaha untuk meninggalkan
dosa-dosa yang kecil apakah lagi dosa-dosa besar. Jangan tinggalkan
amalan yang wajib, jalinkan siraturrahim dengan sanak keluarga dan
mengajar anak-anak menghormati kedua ibu bapa, sebab keredaan Allah itu
tergantung kepada kerdaan ibu bapa terhadap anak-anak . Namun yang
paling penting ajarkan anak-anak gadis supaya menutup aurat agar
kehidupan mendapat keberkahan daripada Allah SWT.
Kesembilan : Selesaikan semua hutang-hutang di dunia ini kerana roh
si mati akan tergantung di antara langit dan bumi jika tidak dibayar
hutang-hutangnya sesama manusia.
Di riwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah, sabda
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: "Roh seseorang
mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang
mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan."
Kesepuluh : Jangan syirik kepada Allah SWT, seperti mempertikaikan
hukum hudud dan hukum-hukum Allah SWT yang lain, tinggalkan fitnah dan
mengumpat dan jangan percaya jika ada orang menuduh seseorang berzina
atau liwath tanpa bawa 4 orang saksi. Sentiasa berbaik sangka kepada
Allah SWT dan jangan pertikai qada dan qadarNya. Sentiasa bersabar
dengan dugaan hidup dan sentiasa bersyukur di atas nikmat yang
dikurniakan oleh Allah SWT.
Nabi SAW bersabda maksudnya :
"Orang yang cerdik ialah orang yang
selalu menjaga dirinya dan beramal untuk bekalan sesudah mati."
(Hadis
Riwayat Tirmidzi daripada Abu Ya'la Syaddad r.a)
Tuesday, October 30, 2012
10 Persediaan ? ...
Posted by Qalbi........ at Tuesday, October 30, 2012
Labels: reminder
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment